BUTTERWORTH: Seorang pesawah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan membuat kenyataan menghasut di menerusi aplikasi WhatsApp pada Selasa.

Azman Md Yusof, 45, membuat pengakuan terbabit di hadapan Hakim, Noor Aini Yusof selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

"Saya faham, tidak mengaku bersalah," katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, Azman didakwa telah menerbitkan penerbitan menghasut iaitu 'Agong nk main judi dekat ckit' menerusi satu kumpulan 'Khariah Pmtg Sungai Dua' di aplikasi Whatsapp.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Permatang Sungai Dua (Kampung Tok Rai), Kepala Batas pada jam 8.45 malam, 25 April 2024.

Oleh demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta yang sama.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya Pulau Pinang, Mohd Nordin Ismail dan tertuduh diwakili peguam, Mohd Izad Buqhary Mohd Kamri.

Dalam prosidingnya, Mohd Nordin memohon mahkamah menetapkan jaminan yang tinggi kepada tertuduh berikutan kes seperti itu (menghasut) seringkali berlaku ketika ini.

"Saya mengambil contoh kes yang lebih kurang sama melibatkan Che'gubard (Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin) pada semalam, yang mana timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes tersebut mencadangkan wang jaminan RM20,000.

"Oleh itu, di sini juga, saya mencadangkan jaminan RM10,000 beserta seorang penjamin terhadap tertuduh. Selain itu, saya juga memohon syarat tambahan iaitu kumpulan Whatsapp tersebut dinyahaktifkan serta tertuduh tidak dibenarkan membuat sebarang hantaran di mana-mana saluran media sosial," katanya.

Mohd Izad kemudiannya memohon mahkamah menetapkan satu jumlah jaminan lebih rendah berikutan anak guamnya hanya bekerja sebagai pesawah.

"Tertuduh berusia 45 tahun dan hanya pesawah. Pendapatannya tidak menentu selain dia juga penanggung tunggal keluarga. Anak guam saya mempunyai anak berusia empat, enam, 14 dan 16 tahun dan semuanya masih bersekolah manakala isteri tertuduh tidak bekerja.

"Tertuduh juga menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya itu. Oleh itu, saya mencadangkan agar mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 kerana di bawah akta ini, hukuman denda adalah sehingga RM5,000," katanya.

Noor Aini menetapkan jaminan RM6,500 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu kumpulan Whatsapp berkenaan dinyahaktif selain tertuduh tidak dibenarkan membuat sebarang hantaran di mana-mana saluran media sosial sehingga kes selesai.

Kes ditangguh sehingga 20 Mei untuk serahan dokumen. - Sinar Harian